Monday, November 8, 2010

Cetusan Rasa

Semenjak berakhirnya pesta bola sepak Piala Malaysia baru-baru ini rasanya saya sudah boleh berehat panjang dan meluangkan masa untuk mencoretkan sesuatu pada blog ini buat tatapan perkongsian bersama para sahabat, tetapi malangnya masa tetap mencemburui saya. Selepas satu-satu program muncul membuatkan masa saya tetap terbatas, apa pun saya akan cuba juga untuk menitipkan sepatah dua perkataan untuk tidak mengecewakan semua sahabat yang menjengok blog ini.

Pilihanraya kecil sudah berlalu, Batu Sapi dan Galas sudah ada dan diketahui pemenangnya, syabas kepada Barisan Nasional kerana berjaya menumpaskan lawan dalam kedua-dua pilihanraya kecil yang dijalankan serentak 4 hari yang lepas. Sesungguhnya kemenangan tersebut sedikit sebanyak akan mendatangkan kelebihan moral kepada parti yang menang untuk menghadapai pilihanraya umum ke-13 tidak lama lagi.

Takala semua sibuk terarah kepada pilihanraya kecil, terdapat beberapa perkara yang pada masa yang sama berlaku dipentas politik negara kita. Pertandingan merebut jawatan tertinggi Parti Keadilan Rakyat walaupun tenggelam buat seketika tetap mempunyai bahangnya yang tersendiri. Pertembungan yang dianggap sengit tetapi penuh dengan permainan politik seperti kebiasaannya telah membuatkan Datuk Zaid Ibrahim menarik diri dari pertandingan kerusi Timbalan Presiden.

Maaflah kepada beberapa orang kawan yang telah meminta pandangan peribadi saya untuk mengetahui siapa pilihan saya dalam merebut kerusi nombor dia dalam PKR yang sedang berlangsung kini. Bagi saya kedua calon samada Azmin Ali serta Zaid Ibrahim mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Masing-masing mempunyai kelebihan dan kelemahan dan sekiranya mana-mana salah seorang daripada mereka berjaya maka saya beranggapan satu perubahan yang berbeza daripada hari ini akan dilaksanakan terhadap dasar serta hala tuju parti tersebut pada masa hadapan.

Mohd Soberi Shafii telah keluar dari parti UMNO selepas 38 tahun, satu jangka masa yang panjang dan akhirnya berkerat rotan disebabkan baginya kebanyakan pemimpin UMNO kini tidak mengutamakan perjuangan parti dan hanya mementingkan kemewahan, kuasa dan wang ringgit sahaja. Apapun terserahlah kepada beliau dan semoga beliau berjaya dalam persimpangan yang dipilih. Berubah merupakan sesuatu yang berat tetapi lebih baik dari terubah disebabkan tersilap persimpangan.

Tanda-tanda kecil pilihanraya umum semakin hampir sudah makin jelas dan nyata, dengar khabar pengganti Tok Guru Menteri Besar Kelantan pun sudah ada, ya atau tidak hanya Pesuruhjaya Pas Kelantan yang juga Mursyidul Am Pas sahaja yang mengetahuinya. Harap-harap bakal penggantinya walaupun tidak lebih hebat dari Datuk Nik Aziz pun tapi sekurang-kurangnya akan menyamai kehebatan dan perwatakan beliau.

Wassalam.

0 comments: