Takziah diucapkan kepada keluarga penyokong The Red Warriors yang telah meninggal dunia di Stadium Shah Alam malam tadi sejurus tamatnya perlawanan peringkat suku akhir pertama antara Selangor menentang Kelantan yang berkesudahan dengan keputusan seri tanpa jaringan.
Keganasan bola sepak kembali menghantui kita semua, pergaduhan di dalam dan di luar stadium, penggunaan bahan letupan seperti mercun dan sikap segelintir penyokong kedua pasukan yang bertindak merosakkan kenderaan serta kemudahan stadium seperti kerusi amatlah mendukacitakan sekali.
Sedih apabila melihatkan suasana sedemikian. Seni bola sepak sebagai salah satu bidang sukan yang terkenal telah dicemari oleh gejala-gejala yang tidak bermoral oleh segelintir sahaja penyokong yang kononnya fanatik tidak bertempat seolah-olah tidak berpelajaran hanya mengikut kata nafsu semata-mata.
Perlawanan agar menarik di atas padang walaupun dicemari dengan layanan dua kad merah kepada pemain Selangor dan Kelantan telah dihangatkan lagi dengan pertembungan para penyokong yang terletak bersebelahan antara satu sama lain. Bermula dengan ejekan, cabar mencabar dan seterusnya baling membaling menjadi punca kepada pergaduhan berterusan hingga ke luar kawasan stadium.
Suasana panas sebenarnya sudah dapat diagak pada awal lagi, pertembungan antara kedua pasukan di peringkat liga super di Stadium Shah Alam sebelum ini pun berakhir dengan keganasan. Saya tidak terkejut sekiranya perkara sedemikian berulang lagi pada perlawanan malam tadi dan malah sudah menjangka kejadian tersebut akan terus berulang apabila melibatkan perlawanan antara kedua pasukan semalam dan mungkin juga pada masa akan datang.
Melihatkan kepada tahap keselamatan yang disediakan pada perlawanan tersebut, sepatutnya pihak pengurusan Stadium Shah Alam belajar daripada kawalan keselamatan yang telah dilaksanakan di Stadium Sultan Mohamad ke-4 di Kota Bharu pada setiap perlawanan. Jumlah 300 orang polis dan rela tidak mencukupi bagi mengawal jumlah puluhan ribu lautan penyokong merah putih dan merah kuning yang datang, sempadan pemisahan antara ke dua penyokong juga amat mendukacitakan.
Apa pun syabas dan setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada para penyokong The Red Warriors kerana telah membuktikan bahawa bola sepak Kelantan sesuatu yang hebat apabila membanjiri Stadium Shah Alam seawal lima petang lagi serta mengatasi jumlah kehadiran penyokong tuan rumah. Bermain di gelanggang lawan seolah-olah bermain di gelanggang sendiri, itulah kelebihan yang tiada pada para penyokong pasukan lain di negara kita yang terdapat pada pasukan Kelantan.
Kita jumpa di Kota Bharu untuk perlawanan kedua nanti, gomo kelate gomo...
0 comments:
Post a Comment