Selamat berjuang kepada Red Warriors, harapan para penonton digalas untuk menumbangkan keegoan Selangor pada malam ini di Stadium Sultan Muhammad Ke-4, Kota Bharu sempena separuh akhir kedua peringkat suku akhir Piala Malaysia selepas seri tanpa jaringan di Stadium Shah Alam selasa lepas.
Lupakanlah kejadian pahit keganasan bola sepak yang berlaku di kalangan segelintir para penyokong kedua buah pasukan pada perlawanan sebelum ini. Biarkan laporan berat sebelah oleh pihak media kini terhadap para penyokong kita lenyap dengan sendirinya apabila mereka melihat pasukan kesayangan kita ini dapat melangkah kaki ke peringkat separuh akhir dan seterusnya menjulang piala idaman itu nanti di perlawanan akhir 30 Oktober 2010.
Apa sahaja tuduhan yang ditunding, usah dipedulikan. Semuanya seolah-olah menunjukkan kesalahan hanyalah dipihak penyokong Kelantan sahaja. Bermula dari provokasi punca pergaduhan, pesta baling membaling, pembakaran mercun, kecederaan parah dan tindakbalas negatif yang dilaporkan dalam media menunjukkan kesemua kesalahan tersebut dilakukan oleh sebelah pihak sahaja iaitu oleh para penyokong Kelantan.
Lupakah media bahawa penyokong manakah yang telah meninggal dunia? Tahukah media bilangan para penyokong manakah yang paling ramai cedera parah yang mendapat rawatan di hospital sehingga kini pun masih yang belum dibenarkan keluar dari wad? Buta warnakah pihak media tidak dapat membezakan warna kerusi yang dipecahkan serta dilemparkan ke arah para penonton? Sedarkah media bahawa penonton manakah yang berada di kawasan kerusi berwarna oren yang dipecahkan untuk dijadikan objek balingan ketika itu? Kenapa media tidak melaporkan yang sebuah kereta peronda polis dipecahkan cermin oleh para penyokong Selangor? Kenapa semua asyik menunding jari kepada penyokong Kelantan sahaja?
Sesungguhnya media sangat tidak adil, ingatkan politik sahaja Kelantan dianaktirikan oleh media, rupanya dianaktirikan dalam segenap segi termasuk sukan bola sepak. Semalam apabila sidang akhbar dibuat oleh pihak Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan oleh Timbalan Presiden iaitu Saudara Nik Salehuddin menyatakan "insiden tersebut berpunca daripada SEGELINTIR PENYOKONG KELANTAN DAN SELANGOR yang tidak bertanggungjawab", tetapi utusan melaporkan sebaliknya iaitu "apa yang berlaku di Shah Alam tempoh hari hanyalah melibatkan SEGELINTIR PENYOKONG KELANTAN (sahaja) yang tidak bertanggungjawab".
Alasan yang digunapakai atas faktor keselamatan oleh Kelab Penyokong Bolasepak Selangor untuk tidak mahu berkunjung ke Kelantan dengan membatalkan rombongan 20 buah bas nampak seperti lawak jenaka. Jaminan keselamatan oleh pihak KAFA kepada mereka diperlekehkan, manakala jemputan para penyokong Kelantan untuk berkorban dan memberi keseluruhan tempat duduk berbumbung (astaka) di stadium ketika bertandang ke sana kepada mereka juga tidak disahut.
Sungguh berlagak Presiden Kelab Penyokong Bolasepak Selangor iaitu saudara Nasir apabila mencadangkan KAFA dan para penyokong Kelantan dihukum dengan bermain di stadium berkecuali iaitu Stadium Nasional, Bukit Jalil seperti musim lepas sebagai hukuman di atas apa yang telah terjadi. Lupakah mereka bahawa siapakah sebenarnya yang menjadi tuan rumah kepada perlawanan sebelum ini keika kejadian tersebut berlaku? Adakah tugasan keselamatan di kawasan stadium ketika perlawanan berlangsung adalah di bawah tanggungjawab pasukan pelawat?
Apapun semuanya bakal ditentukan pada malam ini, kita lupakan ketidakadilan media, kita lupakan keganasan yang berlaku. Yang penting 90 minit yang bakal berlangsung di atas padang malam nanti. Selamat berjuang The Red Warriors, semoga bejayaan dan kebenaran dipihak kita...
0 comments:
Post a Comment